Header Ads

  • Breaking News

    Kabinet Tangguh Kadar Kenaikan Tambang?


    KUALA LUMPUR 20 Mac - Kabinet hari ini difahamkan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tambang baharu teksi dan bas ekspres yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam.

    Menurut sumber, keputusan itu dibuat kerana kenaikan tambang itu dilihat bukan waktu yang sesuai untuk melaksanakannya. “Kabinet bersetuju untuk menangguhkan (kenaikan tambang). Masa tidak sesuai,” kata sumber itu, di sini.

    Kadar baharu pengangkutan awam itu melibatkan kenaikan tambang teksi dan kereta sewa sebanyak 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala kadar tambang bas ekspres naik 22.6 peratus mulai 15 Mei ini.

    Berdasarkan kadar tambang baharu, penumpang teksi 1Malaysia (Teks1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM11.80 sebelum ini manakala penumpang di Lembah Klang dan Johor Bahru pula sebanyak RM17.50 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama.

    Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10 kilome­ter pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu.

    Peningkatan kadar tambang bas ekspres dianggarkan antara RM4.60 sehingga RM11 berikutan kadar baharu iaitu 11.4 sen bagi setiap satu kilometer berbanding 9.3 sen sebelum ini.

    Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menjelaskan, keputusan membenarkan kenaikan tersebut setelah mengambil kira kenaikan kos terpaksa ditanggung pengusaha pengangkutan awam.

    Walau bagaimanapun, pelbagai pihak membantah kenaikan tambang itu kerana dilihat bakal membebankan rakyat sekali gus menggesa pihak kerajaan untuk mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang tersebut dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan perkara berkenaan.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam turut mengeluarkan kenyataan dalam akaun Facebook miliknya bahawa beliau turut membantah kenaikan tambang itu dan telah menyampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ketidakwajaran SPAD membuat keputusan itu dalam ketika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada 1 April ini.

    “Perdana Menteri juga setuju dan akan arahkan SPAD untuk tidak naikkan tambang pada 1 April nanti. Dalam Kabinet esok (hari ini) saya akan rekodkan bantahan saya mengenai kenaikan itu,” katanya.-utusan

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad